AUN-AFS
PENGENALAN
Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan dan penyelidikan pertanian di peringkat serantau apabila diiktiraf untuk menerajui ASEAN University Network for Agriculture and Food Security (AUN-AFS).
Pengiktirafan ini selaras dengan komitmen berterusan UPM dalam memperkasa agenda keterjaminan makanan, kesihatan planet dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). AUN-AFS merupakan rangkaian tematik di bawah ASEAN University Network yang menghubungkan institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN dan negara rakan bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian dan keselamatan makanan.
Komitmen tersebut dizahirkan melalui penganjuran Siri Webinar Sulung AUN-AFS yang dilancarkan secara rasmi dengan UPM sebagai tuan rumah. Webinar bertemakan kebolehcapaian makanan di rantau ASEAN itu berjaya menarik lebih 800 peserta dari pelbagai negara termasuk ASEAN, China, Guinea dan Uganda. Penyertaan melibatkan wakil sektor akademik, agensi kerajaan, organisasi pertanian dan bidang kesihatan, sekali gus mencerminkan kepentingan kerjasama rentas disiplin dalam menangani cabaran keselamatan makanan.
Rangkaian AUN-AFS memberi tumpuan kepada empat teras utama keselamatan makanan yang digariskan oleh FAO, iaitu ketersediaan makanan, kebolehcapaian, penggunaan makanan yang selamat dan berkhasiat serta kestabilan sistem makanan. Platform ini membolehkan universiti berkongsi kepakaran, hasil penyelidikan dan amalan terbaik bagi membangunkan penyelesaian yang relevan dengan keperluan negara masing-masing.
Dalam masa yang sama, UPM turut mengetengahkan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM, pelan tindakan strategik universiti dalam mempercepat sumbangan kepada keselamatan makanan negara dan global. Blueprint ini menekankan pembangunan graduan dan agropreneur, penghasilan teknologi dan inovasi pertanian serta pemerkasaan komuniti petani melalui pemindahan ilmu.
UPM juga berperanan sebagai penyelaras Food Security Nexus yang menghimpunkan universiti awam dan swasta di Malaysia untuk berkongsi amalan terbaik dan memperkukuh impak penyelidikan dalam sektor agromakanan. Kepimpinan UPM dalam AUN-AFS membuktikan peranan universiti sebagai pemacu utama penyelesaian berasaskan ilmu dan inovasi dalam membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan lestari untuk rantau ASEAN.
Maklumat lanjut: Laman Web AUN-AFS