Inisiatif

AgriHub@Gedong: Model Transformasi Pertanian Pintar dan Keterjaminan Makanan Sarawak

Engineering student runs simulation with bright colorful lights surround him

PENGENALAN

Inisiatif AgriHub@Gedong yang diterajui oleh Universiti Putra Malaysia Sarawak dan merupakan satu pendekatan transformasi pertanian berimpak tinggi yang menggabungkan penyelidikan universiti, teknologi pertanian pintar dan pemerkasaan komuniti tani secara bersepadu. Beroperasi di Kampung Lubok Punggor, Gedong, projek ini muncul sebagai antara usaha terawal dan paling komprehensif dalam mentransformasikan penanaman padi di Sarawak ke arah pertanian berasaskan sains, data dan kemampanan.

 

Pelaksanaan AgriHub@Gedong mendapat sokongan padu Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, yang meletakkan Gedong sebagai bakal hab inovasi pertanian negeri serta penyumbang strategik kepada agenda keterjaminan makanan negara. Komitmen ini dizahirkan melalui peruntukan dana berjumlah RM3 juta, termasuk RM1.4 juta bagi fasa awal projek, sebagai pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan produktiviti padi, pendapatan petani dan pembangunan sosioekonomi luar bandar.

PROJEK

Dari sudut teknikal, AgriHub@Gedong memanfaatkan teknologi pertanian pintar seperti dron multispektral, sistem pengairan automatik, Internet of Things (IoT), mesin transplanter dan combine harvester. Penggunaan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi ladang, malah berupaya melonjakkan hasil padi daripada purata tradisional sekitar 2 tan sehektar kepada sasaran jangka panjang sehingga 10 tan sehektar. Dalam fasa pelaksanaan semasa, peningkatan hasil sehingga 6 tan sehektar telah direkodkan, sekali gus membuktikan potensi sebenar pendekatan pertanian pintar dalam konteks tempatan Sarawak.

Projek ini turut menekankan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan prinsip kemampanan, selari dengan keperluan sekuriti makanan, pemeliharaan alam sekitar dan daya tahan sistem pertanian terhadap perubahan iklim. Penyelidikan yang dijalankan bukan bersifat makmal semata-mata, sebaliknya diuji dan diaplikasikan secara langsung di lapangan, menjadikan AgriHub@Gedong sebagai tapak rujukan “living laboratory” bagi inovasi pertanian.

PENGLIBATAN

Keunikan utama AgriHub@Gedong terletak pada model kolaborasi tiga hala antara universiti, kerajaan dan komuniti. Melalui program Jalinan Kasih Tani (JKT), penyelidik dan pelajar universiti terlibat secara langsung bersama petani, bukan sahaja memindahkan teknologi dan kepakaran, tetapi membina kepercayaan serta mengubah budaya kerja petani ke arah pertanian berasaskan bukti dan data. Pendekatan ini menjadikan petani sebagai rakan strategik dalam inovasi, bukan sekadar penerima teknologi.

Dari perspektif tadbir urus dan kepimpinan akademik, AgriHub@Gedong mencerminkan aspirasi universiti untuk kembali memainkan peranan teras sebagai peneraju pembangunan pertanian negara, selari dengan visi strategik “True North” kepimpinan Universiti Putra Malaysia. Projek ini juga memperlihatkan bagaimana institusi pengajian tinggi boleh berfungsi sebagai pemangkin pembangunan wilayah melalui penyelidikan gunaan, pemindahan ilmu dan jaringan strategik merentas agensi.

IMPAK DAN HALA TUJU

Dengan kejayaan pelaksanaan di Gedong, model AgriHub ini berpotensi diperluas ke kawasan lain seperti Simunjan, Lundu, Banting dan Lingga. Pengembangan ini bukan sahaja menyokong sasaran kecukupan beras Sarawak, malah meletakkan AgriHub@Gedong sebagai pusat rujukan pertanian pintar serantau di ASEAN. Secara keseluruhan, AgriHub@Gedong membuktikan bahawa gabungan ilmu, teknologi dan komuniti mampu membentuk ekosistem pertanian moden yang berdaya saing, mampan dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan masyarakat serta keselamatan makanan negara.