Inisiatif

“Living Lab” Universiti Putra Malaysia: Memacu Keterjaminan Makanan Melalui Makmal Hidup, Ilmu Terapan dan Jaringan Strategik

Engineering student runs simulation with bright colorful lights surround him

PENGENALAN

Konsep Living Lab UPM: Dari Kampus ke Lapangan Sebenar

Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh agenda keterjaminan makanan melalui pendekatan “living lab” iaitu ekosistem pembelajaran dan penyelidikan yang dijalankan dalam situasi sebenar (real-world setting). Melalui model ini, kampus bukan sekadar ruang teori, tetapi berfungsi sebagai tapak amali, makmal terbuka dan platform pemindahan ilmu yang menghubungkan pelajar, ahli akademik, industri serta komuniti secara langsung.

PROJEK

UPMS Sarawak sebagai Living Lab Pertanian dan Perhutanan Tropika Borneo

Di Sarawak, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) memainkan peranan penting sebagai “living lab” bagi pertanian dan perhutanan tropika. Menurut Dekan FSPH, Prof. Madya Dr. Noorasmah Saupi, kekuatan utama fakulti ini ialah kedudukannya yang berhampiran ladang pertanian, hutan simpan dan penempatan luar bandar, sekali gus membolehkan pelajar menjalani latihan serta penyelidikan dalam persekitaran sebenar, sambil menggabungkan sains moden dan kearifan tempatan.

FSPH turut memperkukuh ekosistem living lab melalui kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation. Jalinan ini membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik untuk terlibat dalam latihan industri, penyelidikan terapan dan pembangunan profesional, sekali gus mengukuhkan hubungan universiti dengan sektor kerajaan dan industri tempatan.

Dari sudut fokus akademik, FSPH memberi tumpuan kepada bidang seperti pertanian lestari, pengurusan sumber hutan dan biodiversiti tropika, agroteknologi, bioteknologi tanaman, perikanan dan penternakan tropika. Melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, pelajar bukan sahaja dibangunkan dari segi kemahiran teknikal, malah diterapkan nilai etika, kepimpinan dan kesedaran kelestarian alam sekitar, selari dengan aspirasi menyokong agenda nasional keterjaminan makanan dan pembangunan luar bandar.

Living Laboratory untuk Kelestarian Komuniti: Naratif Murum dalam iRandau 2025

Pada 1 Oktober 2025, program iRandau 2025: International Symposium of Social Sciences, Management, Science & Technology anjuran Universiti Putra Malaysia Sarawak telah berlangsung di Dewan Uma Kulit, BRS Sungai Asap, Belaga. Dalam ucapan dasar, YB Kennedy Chukpai Ugon mengetengahkan tema “Bridging Gaps, Fostering Sustainability: The Future of DUN Murum” dengan penekanan bahawa Murum berdepan jurang pembangunan akibat faktor geografi, sejarah penempatan semula, dan keperluan infrastruktur asas.

Ucapan tersebut menggariskan empat tunjang kepimpinan: Trust & Faith, Education, Social Economy & Empowerment, serta Digitalization & Connectivity, termasuk usaha menambah baik jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih, kemudahan pendidikan (sekolah dan hostel), akses kesihatan (klinik dan outreach), program ekonomi komuniti (koperasi, produk tempatan, perusahaan kecil), pemerkasaan belia, dan peluasan capaian digital (menjadikan Sungai Asap sebagai “Digital Village” melalui jalur lebar berkelajuan tinggi).

Dalam bahagian “Fostering Sustainability – Murum as a Living Laboratory for PCDS 2030”, Murum turut dibingkaikan sebagai “living laboratory” bagi SDGs dan Sarawak Post-COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030, dengan visi merangkumi hala tuju hab industri net-zero, pengembangan ekosistem karbon, serta pengukuhan kepelbagaian bio-budaya dan pelancongan komuniti. Di sini, konsep “living lab” dilihat sebagai model pembangunan setempat yang boleh dipelajari dan dipertingkatkan melalui kerjasama data, kajian kes, dan perkongsian ilmu bersama universiti serta rakan strategik.

UniPutra Golf sebagai Living Lab Pelbagai Disiplin

Manakala di Kampus Serdang pula, UPM turut mengembangkan konsep living lab dalam bentuk yang lebih rentas disiplin. Pada 4 Jun, Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah telah menerima sumbangan RM100,000 bagi pihak UPM daripada penaja untuk mengembangkan penggunaan Padang Golf UniPutra sempena Seminar Living Lab Ke-2 di Kelab Golf UniPutra. Seminar ini dianjurkan oleh Pusat Perhubungan & Jaringan Industri (CiRNET) UPM, dengan fokus menjadikan padang golf tersebut sebagai lapangan amali untuk pelajar dan ahli akademik dalam bidang seperti pertanian, kejuruteraan, landskap, pengurusan rumput dan perhutanan.

Pemerkasaan Tadbir Urus Operasi: Bengkel Model Pengurusan Ladang 2024

Bagi memastikan living lab berfungsi secara mampan, UPM melaksanakan pemerkasaan melalui Bengkel Model Pengurusan Ladang 2024 yang melibatkan beberapa PTJ. Bengkel ini turut dihadiri bersama YBrs. En. Sabrie, yang berkongsi ekspektasi pengurusan tertinggi untuk merapatkan jurang staf serta meningkatkan kefahaman terhadap pengurusan operasi ladang dan limitasi sumber sedia ada. Matlamatnya ialah menyediakan persekitaran kondusif untuk melahirkan graduan berkompetensi tinggi, di samping melahirkan lebih ramai Pegawai Pertanian yang cekap mengurus ladang serta berani menghadapi cabaran perkhidmatan melangkaui ekspektasi.

Pusat Pertanian Putra sebagai Hab Living Lab dan Jaringan Antarabangsa

Pusat Pertanian Putra (PPP) berperanan sebagai fasiliti living lab yang menerima pelbagai pihak untuk melihat aktiviti pengajaran, pembelajaran dan latihan. UPM pernah menerima kehadiran pelawat seramai 21 orang dari China Agriculture University (CAU) yang terdiri daripada profesor, pensyarah dan pelajar siswazah. Kehadiran mereka turut dialukan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), dan PPP menzahirkan keterbukaan untuk membentuk jaringan antarabangsa demi menyokong misi dan visi UPM.

Ladang Bersepadu Puchong dan IPR-Intan@UPM: Living Lab Akuakultur dan Latihan Usahawantani

Dalam bidang akuakultur dan latihan komersil, PPP menerima kunjungan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), YBrs. Amir bin Matamin, bersama pegawai kanan lain termasuk Pn. Marlina Binti Mohd. serta En. Amiruddin Bin Hj Bahar, bagi mempelajari kaedah ternakan ikan tilapia menggunakan kolam simen di Ladang Bersepadu Puchong. Lawatan ini turut mengukuhkan kedudukan UPM sebagai pusat rujukan pertanian, mencerminkan kejayaan kerjasama dan penasihatan rakan industri.

Para pelawat turut dibawa melawat tapak latihan usahawantani IPR-Intan@UPM, yang menyediakan latihan pertanian berskala komersil dan berfungsi sebagai salah sebuah Living Lab lengkap untuk manfaat pelajar serta masyarakat awam. Lawatan tersebut turut disantuni oleh Pengarah Pusat Pertanian Putra, YBrs. Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Binti Sakimin serta CEO@PPP merangkap Penasihat Pembangunan Pertanian Lestari UPM, Prof. Adjung Datuk Yap Yun Fook. Keseluruhan ekosistem ini menegaskan peranan living lab sebagai fasiliti latihan, sumber rujukan dan pemacu masa depan bekalan makanan yang lebih terjamin.

PENGLIBATAN

Kolaborasi Industri: MoU UPM–NBM untuk Living Lab Akuakultur dan TVET

UPM turut memperkukuh jaringan industri melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Naturale Biotech Management Sdn. Bhd. (NBM) bagi memperkasakan industri akuakultur, khususnya penternakan udang harimau bebas toksin dan bahan kimia. Inisiatif ini dinyatakan selari dengan Blueprint Keterjaminan Makanan UPM dan menggariskan pendekatan holistik merangkumi penyelidikan, inovasi teknologi, pembangunan kapasiti dan penglibatan industri.

Pelaksanaan kolaborasi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kajian akuakultur, penubuhan Living Lab, serta latihan berasaskan TVET, sebagai usaha memastikan bekalan makanan negara mencukupi, selamat, berkualiti dan mampan.

Living Lab di Luar Kampus: Penglibatan UPM dalam SMACH Agropark

Konsep living lab UPM juga diterjemah melalui kolaborasi strategik di luar kampus. Dalam Majlis Perasmian SMACH Agropark, termeterai kerjasama strategik yang menegaskan visi menjadikan Cameron Highlands sebagai hab inovasi, pendidikan dan pertanian lestari. Empat rakan strategik dinyatakan, termasuk:

  • Yayasan Pahang Advanced Skills (YPAS): komited membina dua (2) unit rumah hijau yang menjadi infrastruktur dan platform latihan praktikal pembinaan rumah hijau.
  • Pusat Pertanian Putra (PPP), UPM: menyediakan kekuatan akademik, memberi akreditasi pendidikan bagi latihan/kursus di SMACH Agropark, dan membuka ruang R&D, menjadikan agropark sebagai makmal hidup untuk menguji serta memperhalusi inovasi pertanian.
  • The Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA): membawa kepakaran amalan pertanian lestari dan perlindungan tanaman bertanggungjawab sejajar piawaian antarabangsa.
  • Tanahmu Aplikasi Sdn. Bhd.: mengintegrasikan penyelesaian IoT pintar bagi pemantauan masa nyata di rumah hijau untuk mengoptimumkan hasil dan mengurangkan pembaziran.

Kerjasama ini menegaskan bahawa living lab bukan hanya tentang fasiliti, tetapi satu ekosistem membina bakat, memajukan teknologi, memperkasakan komuniti dan memelihara alam sekitar seiring agenda pertanian moden dan keterjaminan makanan.

IMPAK DAN HALA TUJU

Rumusan

Secara keseluruhan, inisiatif living lab UPM memperlihatkan satu rangka tindakan yang menyeluruh daripada makmal hidup tropika di Sarawak, pemerkasaan tadbir urus ladang, living lab pelbagai disiplin di UniPutra, hab latihan dan rujukan di Pusat Pertanian Putra, sehinggalah kolaborasi industri (NBM) dan kolaborasi wilayah (SMACH Agropark). Semua komponen ini menyokong aspirasi UPM untuk memacu penyelidikan terapan, pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan jaringan strategik bagi memperkukuh keterjaminan makanan secara mampan.

Keyword Utama

  • living lab Universiti Putra Malaysia
  • Living Lab UPM keterjaminan makanan
  • Blueprint Keterjaminan Makanan UPM
  • Pusat Pertanian Putra living lab
  • UPM Sarawak living lab pertanian